Friday, September 19, 2008
Siapakah yang berjaya....?
"Pelan peralihan kuasa Perdana Menteri dari pemangkunya sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010 mungkin dapat dilaksanakan lebih awal. Menurut PM, tempoh peralihan itu fleksibel dan boleh berlaku di antara tempoh sekarang hingga Jun 2010, tidak lebih dari itu, semasa bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya siang tadi (17 Sept). Jika diteliti dengan mendalam, kenyataan terbaru Pak Lah ini menampakkan ‘ketundukan’ beliau kepada tekanan yang ada sekarang, khususnya setelah Tan Sri Muhyidin mendesak agar Pak Lah menyerahkan kuasanya lebih awal. Walaupun peralihan kuasa sebelum ini telah disepakati akan dilakukan pada bulan Jun 2010, kini ia telah menjadi semakin ‘fleksibel’.
Manakala bagi jawatan tertinggi UMNO di dalam pemilihan Disember nanti, Najib mengesahkan bahawa beliau tidak akan mencabar kerusi tersebut dari Abdullah. Nampaknya percaturan politik sebegini mungkin dapat ‘menyelamatkan’ kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO itu dari kerusi masing-masing. Iklim panas yang tidak menentu yang berlaku dalam UMNO sekarang sebenarnya boleh menimbulkan pelbagai kemungkinan, namun jika dua ‘kuasa besar’ tersebut bergabung membentuk satu kesepakatan, maka ‘kuasa-kuasa’ kecil yang lain akan semakin melemah. Mungkin inilah yang diharapkan akan berlaku, dalam keadaan masing-masing cuba menyelamatkan diri masing-masing dari ‘terbakar kepanasan’ dek cuaca yang tidak menentu ini.
Mutakhir ini, isu pisang goreng dilihat semakin menjadi-jadi. Dimulai dengan kenyataan Anwar Ibrahim yang ingin membentuk kerajaan baru beberapa bulan lepas, kemudian menyusul pula isu undi tidak percaya dari SAPP terhadap Pak Lah, Dr Mahathir pula telah meletak jawatan kerana tidak lagi percayakan kepimpinan Pak Lah manakala dalam masa yang sama Tengku Razaleigh juga tidak mahu ketinggalan mengintai peluang menjadi Presiden UMNO. Beberapa hari lepas, Muhyidin Yassin pula beraksi di pentas apabila mencadangkan agar pelan peralihan kuasa tersebut dilakukan lebih cepat dari tempohnya. Kemudian timbul pula isu percanggahan pendapat tentang ISA di antara Zaid Ibrahim dan Syed Hamid Albar yang diakhiri dengan peletakan jawatan Zaid dari kabinet. Terbaru, Pak Lah mengumunkan pertukaran (switching) portfolio Menteri Kewangan 1 dan Menteri Pertahanan di antara beliau dan Timbalannya. Semuanya ini berlaku dalam tempoh yang amat singkat. Tentunya masing-masing pihak sekarang ini amat sibuk memikirkan strategi untuk kepentingan masing-masing! Yang berkuasa masih tamak dan tidak mahu turun dari kerusi yang menjanjikan seribu satu macam kemewahan manakala yang merasa ada peluang pula tidak mahu terlepas untuk berebut takhta dan singgahsana.
Sebagai seorang Muslim, satu perkara yang perlu kita pertimbangkan adalah, apakah segala fenomena yang berlaku ini memberi kebaikan kepada umat Islam, atau lebih jauh dari ini, apakah telah selesai masalah kita umat Islam, atau semakin bertambah kesengsaraan kita dengan percakaran yang berlaku di peringkat atasan ini? Apakah kebaikan yang kita perolehi dari semua ini berbanding berapa lama kita sudah ketiadaan Khilafah yang menjaga kita semua?
Inilah yang sepatutnya difokuskan oleh umat Islam. Sandiwara sekarang yang sentiasa dimainkan oleh para pelakon layarnya hanyalah drama politik yang tidak akan pernah memberi penyelesaian kepada masalah umat Islam. Mereka tidak lebih daripada watak-watak yang akan membawa kebaikan dan kepentingan kepada diri mereka sendiri dan kepada beberapa kerat yang rapat dengan mereka. Dalam diri mereka, umat Islam dan Islam itu sendiri bukanlah agenda yang perlu diutamakan. Biar apa pun yang berlaku, kepentingan diri adalah sentiasa terkehadapan berbanding yang lainnya. Hal ini adalah lumrah kerana amalan politik hari ini langsung tidak lari dari politik kepentingan tajaan ideologi Barat yang sekular.
Politik Islam adalah bermaksud mengurusi urusan rakyat dengan syariah. Umat Islam dan manusia seluruhnya wajib diatur dengan hukum-hakam Islam, bukan selainnya. Pemimpin Islam yang memimpin dan menjalankan urusan politik sentiasa dipimpin oleh taqwallah dan hukum syarak, mereka takut kepada azab akhirat yang amat pedih dan menjadikan kepimpinan sebagai suatu amanah yang amat berat hingga mereka sangat berhati-hati ketika memikulnya. Lihatlah bagaimana kisah para Khalifah Rasyidun yang begitu tawadhuk pemimpin amanah kerana takutkan azab Allah. Juga, Khalifah lainnya seperti Harun Ar-Rasyid yang menangis tertunduk apabila ditegur oleh Imam al-Fudhail menunjukkan betapa pemimpin Islam itu sangat peka dengan tanggungjawabnya di dunia. Mereka semua mengurus urusan rakyat dengan syariat dan menyebarkan agama Allah ke seluruh pelosok alam. Bandingkanlah politik mereka dengan ‘politik kepentingan’ yang berlaku dalam negara kita sekarang. Alangkah jauhnya para politikus kita dari kebenaran.
Perlu kita sedari bahawa mainan politik yang berlaku di sekeliling kita adalah tidak lebih dari permainan politik sekular warisan penjajah yang mana masing-masing pihak yang bertelagah cuba memanjangkan tempoh hegemoni sekular mereka ke atas kita, sesuai dengan kehendak Barat. Penjajahan yang Barat lakukan secara ‘halus’ ini sentiasa dilakukan tanpa putus asa agar kita sentiasa terpengaruh dengan racun yang mereka suntik melalui para pelakon yang telah ‘terdidik’ dengan tsaqafah mereka ini.
Sebagi Muslim, apa yang penting bagi kita adalah Islam. Segalanya fenomena yang berlaku sekarang wajib diukur dengan Islam, yakni sama ada ia bersesuaian dengan tuntutan Islam atau sebaliknya. Islamlah yang mesti kita jadikan standard berfikir dalam mengukur kebenaran dan kebatilan terhadap senario politik yang tidak menentu yang berlaku saat ini. Dengan berfikir secara Islam sahajalah, maka kita akan dapat menghindarkan diri kita dari terpengaruh dengan racun sekular Barat ini. Isu politik dan isu peralihan kuasa ini tidak akan, dan tidak akan pernah membawa apa-apa erti kepada kita umat Islam, sekiranya yang memimpin kita bukannya pemimpin yang mempunyai pemikiran Islam. Biarpun 1001 kali pemimpin bertukar sekalipun, apalah gunanya jika sang sekular yang tetap berada di atas dan nasib umat Islam tidak pernah terbela dengan hukum-hakam dari Al-Quran dan Sunah. Kita memerlukan sistem (dan pemimpin) Islam yang tulen, bukan mereka yang datangnya dari celupan Barat! Kita memerlukan seorang Khalifah yang memerintah dengan apa yang Allah kehendaki dan melarang dengan apa yang Allah tegahi. Inilah sebenar-benarnya pemimpin di dalam Islam!
Pertelagahan sekular yang semakin parah ini sesungguhnya hanya menunjukkan hakikat kerapuhan sistem yang datangnya dari Barat ini. Sememangya itulah sifat semulajadi sekularisme yang lahir dari Ideologi Kapitalis yang memisahkan agama dari kehidupan. Walaupun dari segi agamanya, para pemimpin kita adalah Muslim, namun dek kerana ideologi Kapitalis-sekular yang mendominasi pemikiran mereka, maka pertelagahan dan perebutan yang berlaku ini adalah lumrah bagi penganut ideologi ini kerana masing-masing hidup hanya untuk meraih sebanyak mungkin 'manfaat', bukannya hidup untuk mematuhi perintah dan larangan Allah sebagai persiapan diri menuju ke akhirat. Sesungguhnya Ideologi sekular ini tidak lama lagi akan berakhir dan Khilafah sekarang sebenarnya semakin melangkah setapak demi setapak dengan gagahnya untuk menampilkan dirinya yang telah lama menghilang. Kedatangannya kali ini akan menghapuskan segala Ideologi kufur yang membelenggu umat Islam selama ini dan seterusnya ia akan membawa agama Allah ini untuk dizahirkan di atas segala agama dan ideologi lainnya. Di saat kemunculannya, maka akan berkuburlah sekular yang sedang retak menanti belah ini. Insya Allah.
Perasap : Apa yang penting ialah Pemimpin dipilih untuk memberikan khidmat kepada rakyat,menjaga kebajikan rakyat dan tidak mengutamakan kepentingan diri. Siapakah yang paling layak...???
" Copy&Paste by: Panglima
Labels:
Malaysia Baru
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment