Perkara yang amat sukar dalam hidup ini adalah istiqamah atas kebenaran. Istiqamah bermaksud berdiri teguh sepanjang masa berada atas kebenaran dan petunjuk, tanpa berpaling ke kiri atau ke kanan. Kata Saidina ‘Umar bin al-Khattab:
“Istiqamah itu kamu berdiri terus mematuhi suruhan dan larangan Allah tanpa berubah-ubah seperti musang” (Ibn Qayyim, Tahzib Madarij al-Salikin, 2/528, Beirut: Muassasah Fuad).
Inilah perkara yang ringkas disebut, berat untuk dilaksanakan dalam hidup. Jadi, istiqamah mempertahankan kebenaran bererti sentiasa berdiri teguh menegakkan kebenaran dalam apa keadaan sekalipun.
Mempertahankan kebenaran secara istiqamah bukanlah tugas yang ringan. Sekalipun ramai yang pandai berceramah atau berslogan sakan tentang kewajipan dan amanah berdiri teguh atas kebenaran, tetapi belum tentu yang berceramah itu sanggup menghadapi badai cabaran pada setiap musim. Jika ada yang sanggup mempertahankan kebenaran dalam beberapa keadaan, malangnya apabila tiba waktu tertentu dia gugur dan layu.
Ada yang lantang mempertahankan kebenaran bukan kerana kebenaran itu dituntut, tetapi kerana merasakan ‘pasaran’ tajuk tersebut laris untuk dilelong, maka dia pun sakan berkempen. Sehingga sekali pandang seakan dia pejuang kebenaran.
Malangnya, apabila tiba pada masa kebenaran itu tidak mendapat sambutan, dia pun menyembunyikan diri dan lari. Bahkan lebih buruk lagi, dia pun mungkin akan bersekongkol dalam menyindir atau menentang kebenaran.
Insan yang beristiqamah tidak sedemikian rupa. Dia akan mempertahankan kebenaran di kala orang ramai suka dan tidak suka. Di kala kebenaran diterima ramai, atau ditolak orang. Tanpa mengira, samada mempertahankan kebenaran itu mengundang untung, atau rugi. Samada dia disukai kerananya, atau dibenci.
Kebenaran adalah kebenaran. Dia tidak akan menukarkan kebenaran dengan kebatilan hanya disebabkan kepentingan habuan yang diharapkan, atau pangkat yang diidamkan.
Ramai insan yang telah mengorbankan kebenaran kerana sayangkan hartanya. Ada yang menolak kebenaran hanya kerana pangkat yang dipegangnya. Bukan kerana mereka tidak tahu yang benar itu benar.
Justeru itu Allah mengingatkan Bani Israil yang merupakan kaum yang mengetahui kebenaran yang pernah turun kepada Nabi Musa a.s. Mereka sepatutnya menjadi orang yang awal beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w. kerana mereka memahami kebenaran. Malangnya mereka menolak, atas kepentingan.
Firman Allah: (maksudnya)
“Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Aku berikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu Dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaknya kamu merasa gerun. Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang membenarkan kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang yang mula-mula kafir (engkar) dengannya; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli perkara-perkara yang murah; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah, ayat 40-42).
Maka tidak hairanlah, betapa ramai golongan agama dalam dunia ini yang kerana diberi pangkat ‘mufti’ atau ‘kadi’ atau ‘pengarah itu dan ini’ lalu mereka mendiamkan tanpa menegur kesalahan yang nyata di depan mata sedangkan mereka mampu. Bukan mereka tidak tahu, namun mereka bimbang jawatan mereka dikacau orang. Padahal, dengan jawatan yang diberikan, banyak perkara yang dapat ditegur dan dibetulkan. Namun mereka mendiamkan diri bagaikan ada butiran permata dan berlian yang tersimpan.
Sebenarnya, bukan permata atau berlian yang tesimpan di lisan, tetapi jawatan yang tersimpan dalam perasaan. Bak kata lirik: “Hendak mati di hujung kuku, hendak berkubur di tapak tangan”. Mungkin jika lirik itu digubal semula maka jadinya: “Hendak mati di atas kerusi, hendaklah berkubur dalam jawatan”. Apa tidaknya, sesetengah jawatan itu ada kereta khas, pejabat yang besar dan gaji yang besar.
Sepatutnya fungsinya pun besar. Namun, ramai yang berpangkat hanya hebat kerana pangkatnya, tidaklah pula rakyat tahu apakah fungsinya yang telah dimainkan sesuai dengan gaji yang besar yang kaut dengan selesa itu. Jika dibuang pangkatnya, lalu dinilai ucapan, pemikiran, tulisan, bahkan ilmunya, kelihatan tidak lebih, bahkan mungkin kurang daripada sebahagian orang awam yang lain.
Sukarnya untuk kita meminta mereka seperti itu mempertahankan kebenaran sehingga mengorbankan ‘kemeriahan harta’ yang sedang mereka perolehi. Bukan sahaja mereka, ramai yang lain di kalangan manusia yang hanya kerana beberapa kerat harta, atau wang, atau idaman yang dijanjikan, kebenaran diketepikan. Jika mereka tidak tentang pun, mereka diam, sehingga kebenaran itu mati.
Beristiqamah dalam mempertahankan kebenaran bererti seseorang bersedia untuk menanggung risiko sekalipun pahit dan getir. Sanggup dipukul gelombang anti-kebenaran sekalipun menyebabkannya terdampar jauh tersisih ke dataran yang sangat asing. Istiqamah mungkin menyebabkan hilangnya pangkat dan harta.
Namun, kebenaran tidak boleh dijual beli. Itulah jalan para nabi a.s. sepanjang zaman. Para pengikut nabi juga, wajib menyelusuri jalan ini. Di sini kita lihat, besarnya peranan istiqamah dan tidak hairanlah mengapa Allah menjanjikan balasan yang besar kepada mereka yang beristiqamah.
Firman Allah:
“Sesungguhnya orang-orang yang berkata (menegaskan keyakinannya): “Tuhan Kami ialah Allah”, kemudian mereka istiqamah (tetap teguh di atas jalan yang betul), akan turun malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan daripada Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani! Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, serta dia sendiri mengerjakan amalan yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Surah Fussilat, ayat 30-33).
Kebenaran itu tidak pernah mengenali pangkat, puak, parti, gelaran dan warna kulit. Kebenaran tidak mempunyai identiti daerah, atau negeri atau bangsa atau keluarga. Kebenaran itu tetap kebenaran berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Allah dan RasulNya.
Istiqamah mempertahankan kebenaran bererti terus menegakkan kebenaran tanpa mengira pangkat, atau gelaran atau kedudukan atau puak. Ini tidak dapat dilakukan oleh mereka yang bersifat hizbiyyah (kepuakan). Samada ekstrimis parti ataupun kumpulan atau mazhab, atau organisasi tertentu akan gagal beristiqamah apabila tiba giliran kesalahan itu berada di puak mereka.
Ramai tokoh-tokoh yang bersifat hizbiyyah ini akan lantang menghentam dan mengkritik kemungkaran yang lakukan oleh musuh-musuh mereka. Malang sekali, apabila perkara yang sama dilakukan oleh ‘orang mereka’ atau ‘pemimpin mereka’ atau ‘parti mereka’ mereka akan mendiamkan diri.
Kita boleh lihat gelagat parti-parti politik dalam negara kita ini pun. Ada perkara yang dihukum haram atau sesat pada masa lepas, didiamkan sahaja pada hari ini apabila mereka terjerumus sama. Ada pula perkara yang dianggap salah dan tidak bermoral lalu ditentang habis-habisan, tiba-tiba hari ini mereka atau parti mereka pula melakukannya atau mengiktirafnya.
Maka kita tidak hairan jika golongan yang seperti ini bermakian antara satu sama lain pada hari ini. Mungkin besok lusa, atau setahun dua lagi mereka berpelukan dengan mesra sekali. Padahal kedua-dua pihak belum pun mengubah prinsip atau masih atas ‘mazhab lama’, tetapi segala dosa dan nista dapat dilupakan kerana ‘kita sudah geng’ dalam politik.
Jika ada yang mengumpulkan keratan akhbar beberapa tahun dahulu, lalu dibandingkan dengan pendirian politik pada hari ini, akan melihat betapa berbeza perkataan dan penilitian. Bukan sahaja dalam soal remeh temeh, bahkan soal-soal prinsip mereka pun, sudah ramai yang berubah. Jika perubahan itu ke arah positif, kita alu-alukan. Tetapi jika ia bagaikan musang, bak kata Saidina ‘Umar, itu amat mendukacitakan.
Namun, janganlah pula kita hairan, jika setahun dua lagi orang-orang politik yang berkasih sayang pada hari ini, tiba-tiba akan akan berperang kembali antara satu sama lain. Segala kesalahan semasa ‘persahabahatan’ dahulu akan diungkit kembali, dan segala yang didiamkan akan dibising semula.
Hal ini berbeza dengan mereka yang istiqamah. Dalam menegakkan kebenaran tidak pernah mengira samada kawan atau lawan. Parti sendiri atau parti musuh. Seagama, atau berlainan agama. Ini prinsip yang luhur dan telus. Atas prinsip ini jugalah orang-orang bukan Islam dapat hidup dengan aman di bawah pentadbiran Islam. Perbezaan agama tidak pernah menghalang untuk para pemerintah Umat Islam yang adil seperti al-Khulafa’ al-Rasyidin menegakkan kebenaran. Sekalipun dalam membela mereka terpaksa menghukum orang Islam yang bersalah.
Malang dalam dunia aliran buta fakta, celik lambang puak dan kumpulan, berpendirian bagi mereka diukur dengan kesetiaan kepada parti atau kumpulan, atau mazhab sekalipun ternyata dalam perkara yang silap atau salah. Terus setia tanpa bantahan sekalipun atas kesalahan dianggap sebagai istiqamah atau teguh pendirian. Sementara sesiapa yang menyokong atau mengkritik pandangan-pandangan pemimpin atau tokoh berdasarkan fakta dan alasan yang dikemukakan dianggap tidak berpendirian.
Paksi kebenaran bagi mereka adalah tokoh, kumpulan, puak, parti bukan fakta dan alasan. Inilah asabiyyah yang sebenar. Nabi s.a.w pernah bersabda:
“..Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim, al-Nasai dan Ibn Majah).
Kata al-Sindi (meninggal 1138H) dalam mensyarahkan hadis-hadis Sunan Ibn Majah:
“Bendera kebutaan adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil”. ( Al-Sindi, Syarh Ibn Majah, 4/326 Beirut Dar al-Ma’rifah).
Bimbang takut dikatakan tidak berpendirian, maka ramai insan dalam negara ini yang mengambil sikap sangat berpihak. Mereka kehairanan jika ada sesiapa yang bercakap atas kebenaran tanpa melihat kepada warna kumpulan atau parti, sebaliknya atas kebenaran dan fakta. Mereka tertanya: “kenapa awak sekejap menyokong kami, sekejap tidak? Ini tidak berpendirian namanya”.
Mereka lupa, paksi pendirian itu sepatutnya diukur dengan alasan yang dipegang oleh seseorang. Bukan kumpulan yang disokong. Jika seseorang asyik menyokong kumpulannya sahaja tanpa bertanya samada benar ataupun salah, maka itu namanya ‘pak turut’ atau ‘taklid buta’. Golongan inilah yang sepatutnya dihukum tidak berpendirian.
Malanglah, jika ukuran telah terbalik, maka bak sabda Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat..” (Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih.dan ini disetujui oleh Al-Zahabi).
Demikian, insan perlu istiqamah dalam pendiriannya, merentasi sempadan parti atau sebarang organisasi. Hidup untuk kebenaran, atas kebenaran. Ia satu prinsip yang lebih utama yang mampu mneyelamatkan manusia dari jatuh ke lembah penyelewengan hidup. Prinsip yang goyah dipukul badai, dan tidak lapuh dek panas mentari.
Dalam hadis Muslim, Sufyan bin Abdillah r.a. pernah bertanya Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah, beritahuku dalam Islam ini satu perkataan yang aku tidak perlu bertanya sesiapa selain engkau”. Jawab Nabi s.a.w: “Katakan: aku beriman dengan Allah, kemudian kamu beristiqamahlah”.
Copy&Paste by: Panglima