"Abdullah Ahmad Badawi tidak nampak jalan bersara pilihan sendiri, atau jalan dibersarakan awal dari UMNO, atas kehendak beberapa individu di dalam mahupun di luar UMNO.
Dari tindak-tanduknya sejak 18 September, 2008, sehingga lewat beberapa hari ini, dan menjelang 9 Oktober, 2008, apa yang jelas ialah dia lebih memilih untuk kekal sebagai Presiden UMNO.
Ramai orang tidak faham, betapa keseronokan menjadi Presiden UMNO bukan kepalang. Tambahan pula, buruk dan baik Presiden UMNO yang lalu, masing-masing dikenang meninggalkan legasi. Abdullah Ahmad Badawi mahu itu juga. Satu legasi, di mana semua orang akan ingat, paling tidak...Pak Lah hebat.
Sebab itulah Abdullah Ahmad Badawi akan terus kekal sebagai Presiden UMNO lebih lama dari yang dijangkakannya sendiri.
Lebih-lebih lagi:
01. Jika dia bersara pada 9 Mac, 2008, dia akan dikenang sebagai penyebab utama kegagalan Barisan Nasional menyerlah dalam PRU 12.
02. Jika dia bersara 27 Ogos, 2008, selepas P 44 Pilihanraya Kecil Permatang Pauh, dia akan dikenang sebagai Anak Pulau Pinang yang kecundang di tangan Anwar Ibrahim.
03. Jika dia bersara sebelum 9 Oktober, 2008, dia akan dikenang sebagai pemimpin nilai prihatin 15 sen dan 10 sen, setelah tersilap menaikkan harga petrol dan diesel secara serta-merta dan drastik pada 5 Jun, 2008 yang lalu.
Jadi, mestilah ada sesuatu yang paling baik, sehingga persaraan Abdullah Ahmad Badawi di atas pilihannya sendiri, maka dia turun secara terhormat, dan itulah kenangan paling manisnya sebagai Presiden UMNO.
Sepertimana impian mana-mana Presiden parti politik, apabila Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan hendak bersara esok, contohnya, seluruh Rakyat Malaysia datang dengan pelbagai cara dan hala, untuk memujuknya supaya kekal dan mahu dia sambung lagi memimpin walaupun sehingga 100 tahun lagi.
Ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi, akan bersara juga, walaupun Wanita UMNO menangis teresak-esak, walaupun Pemuda UMNO menghunus keris cucuk ke udara, dan walaupun Majlis Tertinggi UMNO merayu, mendayu, memujuk, memegang lututnya, ya semua itu molek jika terjadi, namun tidak sama dengan legasi yang telah ditinggalkannya.
Hal ini berlainan sekali dengan kedudukannya sekarang, bila Abdullah Ahmad Badawi buka mulut sahaja mengumumkan peralihan kuasa walaupun lama tempohnya, yakni pertengahan 2010, para pemimpin UMNO sudah pun memberikannya standing ovation!
Apakah maknanya itu?
Abdullah Ahmad Badawi tidak mahu standing ovation yang sebegitu. Tidak sekali-kali.
Dengan yang sedemikian itu, apakah ada cara yang boleh Abdullah Ahmad Badawi manfaatkan supaya dia dapat satu tempoh masa, untuk melakukan sesuatu, sehingga jika ada kemudiannya rating yang di buat ke atas kepemimpinannya, paling tidak pun dia dapat pungutan 99 par 100.
Kini rating kepemimpinannya amat teruk, sebagai pemimpin dia buruk, apakah ketika ini tarikh dia bersara, dalam keadaan yang amat memalukan ini?
Diburukkan lagi dengan rakan politik yang menjadi pencabar pula jawatan Presiden UMNO. Boleh dikatakan hubungan Abdullah Ahmad Badawi dan Tengku Razaleigh Hamzah adalah baik.
Tetapi, baru-baru ini, Tengku Razaleigh Hamzah ada berkata, bahawa dia dan Mohd Najib Abdul Razak macam budak-budak, bermain permainan "ini aku punya, ini engkau punya" dalam sebuah negara Republik Pisang.
Abdullah Ahmad Badawi ada perasaan, pedih itu! Ramai orang tertawakan Abdullah Ahmad Badawi, sebagai pelawak yang lucu, dan bukan dihormati sebagai pemimpin yang unggul.
Tambah buruk lagi ialah, kritikan Mahathir Mohamad, yang semacam tanpa henti. Sejak awal kepemimpinannya lagi, sehinggalah kini berterusan, dan entah bila akan berakhir. Hampir saban hari, dikritik mantan Presiden UMNO itu, dan kepedihan amat terasa.
Kita dapat fahami lebih mendalam lagi, dengan informasi ini, satu artikel yang menyengat di TranungKite OnLine:
Projek Mahathir Berjaya !!!
Pak Lah “Kambing Hitam”, Siapa “Kuda Hitam”?
Dilulus terbit pada Monday, September 29 @ 14:53:04 MYT oleh greenboc
Oleh ulitmayang
Perincian lanjut di sini:
http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=16782
Tambah buruk ialah kritikan berlanjutan Mahathir Mohamad yang ditambah pula dengan kritikan senada Mukhriz Mahathir.
Begitu juga, dalam adab susila, tertib dan teratur, apa yang disuarakan oleh umpamanya Muhyiddin Yassin, Rafidah Aziz, Hishammuddin Hussein, dan dua tiga lagi pemimpin UMNO yang lain, turut memedihkan bagi Abdullah Ahmad Badawi.
Sebenarnya, sejak awal lagi, tidak tertasdiq di hatinya, dan tidak terlintas di fikiran Abdullah Ahmad Badawi untuk bersara dari jawatan Presiden UMNO.
Apa yang telah disebut sebagai pelan peralihan hanyalah peralihan yang perlahan. Perinciannya kepada peralihan kepemimpinan dan perpindahan kuasa sekadar lepasan sebutan sahaja yakni pertengahan 2010.
Ini, hanyalah untuk meredakan bahang dalam UMNO sahaja. Sekiranya tiada bahang itu, tiadalah apa yang disebutkan sebagai peralihan kuasa itu, dan tiadalah ada sebarang pengumuman Abdullah Ahmad Badawi bersara jawatan Presiden UMNO. Apatah lagi, awal.
Dalam menghadapi asakan dan desakan sekiranya dikatakan ada, dari dalam dan luar UMNO, kini Abdullah Ahmad Badawi sudah menjumpai satu rentak yang baik punya, yang membolehkan dia terus kekal sebagai Presiden UMNO, sehingga tercapai suatu kepuasan, meletakkan satu legasi bagi dirinya.
Rentak ini telahpun nyata kelihatan pada 26 September, 2008. Di mana, Presiden UMNO berdua-duaan bisik bincang dengan Timbalan Presiden UMNO. Kemudian dikemukakan pula kepada Majlis Teringgi UMNO. Malahan sememangnya ada cara supaya tiada seorang pun yang menentang. Seterusnya, umumkan dalam sidang media, tanpa Ahli Majlis Tertinggi. Kemduain, bakal ada kemungkinan seorang atau dua orang yang akan bising. Selepas itu, apa yang dihajatkannya telahpun menjadi muktamad.
Cantik!
Apa yang diperlukan sekarang ialah tempoh masa yang lebih lama. Maka, tidak menghairankan jika dalam sedikit masa lagi, Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan sistem kuota, supaya demokrasi kembali dan lebih ramai boleh bertanding.
Kemudian, dia memperkenalkan apa yang boleh difahami sebagai Sistem Tundaan Automatik dalam UMNO.
Begini kebarangkalian atau kemungkinannya:
Auto 1
Pemilihan UMNO Bahagian yang dijadualkan pada 9 Oktober, 2008, secara automatik ditunda kepada 9 Februari, 2009.
Manakala, Perhimpunan Agung UMNO dan Pemilihan Pemimpin, yang dijadualkan pada 16 Disember, 2008, secara automatik ditunda kepada 9 Mac, 2009.
Ini diikuti dengan...
Auto 2
Pemilihan UMNO Bahagian yang dijadualkan pada 9 Februari, 2009, secara automatik ditunda kepada 9 Oktober, 2009.
Manakala, Perhimpunan Agung UMNO dan Pemilihan Pemimpin, yang dijadualkan pada 9 Mac 2009, secara automatik ditunda kepada 16 Disember, 2009.
Kemudian ditunda lagi...
Auto 3
Pemilihan UMNO Bahagian yang dijadualkan pada 9 Oktober, 2009, secara automatik ditunda kepada 9 Februari, 2010.
Manakala, Perhimpunan Agung UMNO dan Pemilihan Pemimpin, yang dijadualkan pada 16 Disember 2009, secara automatik ditunda kepada 9 Mac 2010.
Seterusnya ditunda lagi, sehinggalah Abdullah Ahmad Badawi dapat tinggalkan satu legasi yang dikaitkan dengan namanya sebagai Presiden UMNO. Paling tidak, Pak Lah hebat!
Ura-ura ini sudah mula dihidu di kalangan bloggers yang mudah mendapat akses informasi dari dalam kem Abdullah Ahmad Badawi.
InsyaAllah, jika semuanya berlangsung elok, sama-sama kita saksikan nanti, pengumuman rasmi perihal ini, sebelum 9 Oktober, 2008.
Copy&Paste by: Panglima